Saturday, May 17, 2008

Sekitar undian Piala MAlaysia

Kedah dilihat berpeluang cerah untuk layak ke suku akhir selepas mendapat laluan mudah dalam undian Piala Malaysia, semalam.

Pengurus pasukan Kedah, Datuk Othman Aziz berkata, kelebihan itu dilihat boleh membantu Kedah mempertahankan kejuaraan dimenangi tahun lalu.

"Meskipun permainan bola sepak sesuatu yang unik dan tidak boleh diduga, namun saya percaya peluang Kedah untuk memenangi Piala Malaysia terbuka luas berdasarkan prestasi yang ditunjukkan pada musim ini," katanya selepas undian Piala Malaysia di sini, semalam.

Majlis undian turut disempurnakan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah.

Saingan Piala Malaysia akan bermula 11 Jun ini bagi peringkat kumpulan yang bakal berlangsung serentak dengan Euro 2008.

Ini diikuti suku akhir (5/6 dan 9/10 Ogos), separuh akhir 13 dan 17 Ogos dan perlawanan akhir (23 Ogos).

Kedah berada dalam Kumpulan B bersama Johor FC, Pulau Pinang, Polis, Sabah dan Kuala Lumpur.

Kumpulan A pula membariskan Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Sarawak, Melaka dan Kelantan.

Kumpulan C menampilkan Perak, Perlis, Pahang, UPB-MyTEAM, Johor Pasir Gudang dan Tentera.

Dalam pada itu, saingan Kumpulan A dilihat bakal didominasi oleh Negeri Sembilan yang menjadi naib juara Liga Super pada musim ini walaupun dijangka mendapat tentangan sengit Selangor dan Terengganu.

Kehebatan Selangor juga tidak dapat dinafikan meskipun berada di kedudukan tempat keempat Liga Super kerana dikenakan tindakan pemotongan tiga mata.

Bagi Kumpulan C, Perak dilihat mempunyai kelebihan kerana berada di kedudukan yang lebih baik pada musim ini iaitu di tangga kelima berbanding Perlis yang berada di tangga ketujuh liga.

Selain itu, Perak juga menunjukkan kebangkitan mutu permainan baru-baru ini apabila berjaya melayakkan diri ke pusingan suku akhir Piala AFC.

No comments: