Thursday, May 22, 2008

piala antara Bernua

Pertembungan empat benua



AYAM TAMBATAN: John Owoeri (kanan) tonggak harapan Nigeria bertemu Chile dalam perlawanan separuh akhir Piala Antara Benua di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, petang ini.

Nigeria-Chile dan Australia-Ireland menepati ciri status pasukan terbaik edisi sulung

PERTEMBUNGAN paling dinantikan, empat benua masing-masing menampilkan wakil pada saingan separuh akhir Piala Antara Benua hari ini, menepati status sebagai antara yang terbaik pada edisi sulung ini.

Dan pertembungan antara Nigeria-Chile dan Australia-Ireland menjanjikan aksi terbaik dengan tumpuan pasti terarah kepada dua wakil ke Sukan Olimpik Beijing, Nigeria dan Australia.


Di atas kertas, Nigeria yang akan bertemu wakil Amerika Latin, Chile pasti berdepan kesukaran selepas skuad muda Chile bimbingan Eduardo Berizzo mempamer persembahan terpuji dalam Kumpulan B, sebelum ini.

Mereka cuma kalah kepada juara kumpulan Australia selepas mendominasi permainan dengan corak permainan bergaya bagi mengumpul enam mata dari tiga perlawanan sambil menjaringkan tujuh gol.

Bagi jurulatih Nigeria, Samson Siasia, beberapa kelemahan perlu segera diperbaiki anak-anak buahnya terutama di jentera serangan.

"Saya mungkin akan mengubah sedikit bahagian itu untuk memberi keupayaan di bahagian serangan. Walaupun saya berpuas hati dengan penyerang hadapan, Jeremiah Ani dan John Owoeri, saya tidak menolak kemungkinan memberikan peluang pemain muda Charlton Athletic, Danny Uchechi.

"Dia memberikan kami lebih pilihan dengan larian dan kemahiran menggelecek yang ditunjukkan pada babak kedua ketika menang 1-0 mengatasi Iraq dan saya mahu lihat dia sekali lagi melakukannya," katanya.

Ketika Siasia mahu menjadikan kejohanan ini sebagai medan pemilihan terakhir skuad ke Beijing, dia tetap menghormati keupayaan Chile yang disifatkan memiliki corak permainan Latin sebenar dipenuhi pemain dengan kemahiran individu terbaik.

Satu lagi pasukan pilihan, Australia pula tampak akan berdepan laluan sedikit mudah bertemu Ireland ketika wakil Asia itu menempah tiket ke separuh akhir dengan kutipan sembilan mata penuh.

Terkenal dengan corak permainan fizikal, skuad Olyroos tampak sudah membiasakan diri dengan cuaca panas di Asia yang menjadi tempat latihan penting buat mereka ke Sukan Olimpik nanti.

Jurulatih Australia, Graham Arnold tetap positif anak-anak buahnya akan beraksi baik walaupun tanpa empat tonggak utama yang pulang bagi membantu skuad kebangsaan menghadapi perlawanan di Ghana.

"Saya gembira dengan sikap yang ditunjukkan pemain. Tanpa James Troisi, Mark Bridge, Nikolai Topor Stanley dan James Holland, saya yakin pemain lain mampu bergerak secara efektif," katanya.

No comments: