Saturday, May 17, 2008

FAM tetap tidak iktiraf Piala Juara-Juara Beli

SEGALA kesimpulan kini tampak mudah - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tetap 'bersikap berdegil' tidak akan memberi pengiktirafan terhadap penganjuran kejohanan Piala Juara-juara Belia (CYC) selagi badan induk itu tidak berpuas hati dengan pelbagai kontroversi yang melanda ketika ini.


Malah FAM menegaskan, persoalan sama ada CYC mampu membangunkan sukan bola sepak negara ini juga tidak timbul kerana merasakan imej mereka sedikit sebanyak tercalar disebabkan senario berkenaan.

"FAM tidak pernah dirujuk mengenai perkara ini, kontrak hanya antara kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Gifted Group. Kita (FAM) tiada kuasa untuk melihat perjanjian itu.


"Tetapi perjanjian ini tertakluk kepada pengiktirafan FAM dan kedudukan terkini ia tampak tidak memberi peluang kepada Malaysia," kata Timbalan Presiden FAM, Khairy Jamaluddin.

Khairy yang turut menyertai Mesyuarat Eksekutif FAM dipengerusikan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah, di ibu kota, semalam menjelaskan bahawa dia dimaklumkan bahawa wakil dari promoter kejohanan, Gifted Group sudah mengadap Sultan Ahmad Shah bagi menerangkan kedudukan sebenar FAM, baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, FAM masih belum mahu memberi sebarang keputusan sama ada mengiktiraf kejohanan itu atau sebaliknya.

"Laporan awal kami terima mengatakan semua kemudahan teknikal akan diberi kepada AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia), jika itu berlaku memang ada masalah," katanya.


Dan tambahnya, promoter kejohanan itu juga diberitakan akan menulis surat kepada Presiden FAM dan disebabkan itu badan berkenaan masih memberi peluang meneliti perkara berkenaan.

Sebelum ini, selepas lama 'berdiam diri' dengan kemelut yang melanda berkaitan CYC, FAM menegaskan bahawa badan induk itu tidak mahu 'terperangkap' berikutan tindakan penganjur yang boleh membuatkan FAM dikenakan hukuman oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Ia berikutan hak FAM dipersenda ketika KBS, yang mengeluarkan peruntukan RM17 juta setahun, tampak 'menghalalkan' CYC 'dijual' kepada AFC tanpa pembabitan FAM selaku badan induk peringkat tempatan.

No comments: