Thursday, May 22, 2008

Grant puji anak didik



'Kami pasukan lebih baik malam ini dan kami sepatutnya menang'

MOSCOW: Pengurus Chelsea, Avram Grant memuji pasukannya terutama ketua pasukannya yang cukup sugul, John Terry selepas kekalahan dalam final Liga Juara-Juara Eropah kepada Manchester United, kelmarin.

"Saya berbangga dengan pasukan saya dan apa yang kami capai musim ini dan saya sudah memberitahu mereka," katanya pada sidang akhbar berikutan kekalahan 6-5 menerusi penalti penentuan selepas permainan berakhir 1-1 selepas masa tambahan.


"Kami adalah pasukan lebih baik malam ini dan kami sepatutnya menang, tetapi saya tetap berpendapat kami melalui musim yang hebat."

Terry tergelincir ketika mengambil penalti yang sepatutnya menghadiahkan trofi kepada Chelsea andai dia menyempurnakannya.

Sebaliknya, percubaannya tersasar, kedudukan terikat 4-4 dalam penentuan dan United bangkit untuk menang apabila penalti Nicolas Anelka selepas itu diselamatkan Edwin van der Sar.

Namun Grant, tetap menghamburkan pujian buat kapten Chelsea, yang teresak-esak di bahunya selepas kekalahan itu.


"Dia begitu sedih dan menangis tetapi dia juga adalah punca utama kami mampu berada di sini," kata warga Israel itu.

"Ini bukan musim normal buat Chelsea tetapi dia berada di sini ketika kami memerlukannya. Dia mengambil penalti terakhir, dia adalah pemain hebat, kapten hebat dan cemerlang hari ini."

Terry mungkin tidak perlu mengambil penalti jika penyerang Didier Drogba tidak dilayangkan kad merah pada masa tambahan dan tidak berada di atas padang ketika detik penentuan.

Grant pantas menolak idea itu. Ketika ditanya jika Drogba yang sepatutnya mengambil penalti dan bukan Terry, dia menjawab: "Dia tidak berada atas padang."

No comments: