Friday, May 23, 2008

Ribery berjaya isi tempat ‘ayam tambatan’ Perancis



PARIS: Franck Ribery masih belum mampu untuk menyaingi kehebatan Zinedine Zidane tetapi pemain tengah itu sudah pun berjaya merebut tempat bintang itu sebagai ayam tambatan Perancis.

Ribery mula mendapat perhatian pada Piala Dunia 2006 dan selepas itu, prestasinya terus meningkat dan kehebatannya terserlah pada musim pertamanya di Bayern Munich apabila berjaya membantu pasukan berkenaan meraih gelaran Bundesliga. Namun di negara sendiri di arena yang lebih besar, pemain berusia 25 tahun itu cuma menunggu masa untuk mendaki ke tahap yang lebih tinggi.


Dibuang daripada akademi bola sepak Lille ketika berusia 16 tahun selepas dianggap kekurangan kriteria, dia bermain bersama pasukan bawahan sebelum menyinar sewaktu bermain dengan pasukan utama, Metz pada 2004.


Selepas mengharungi musim di Galatasaray dan Olympique Marseille, dia berpindah ke Bayern pada tahun lalu dan belum pun lama, dia sudah menjadi sebutan ramai, sama seperti apa yang dibuktikannya sebelum ini. Pemain tengah yang menakjubkan itu tidak pernah bermain untuk Perancis sebelum Piala Dunia 2006 tetapi selepas itu dia menjadi pilihan automatik jurulatih, Raymond Domenech.

Zidane pada final Piala Dunia, memuji Ribery dan menasihatinya supaya bijak menyimpan tenaga berbanding sikapnya yang melulu umpama anjing yang terlepas tali.
Sebagai pemain yang kuat berlari dengan kemahiran menggelecek yang tinggi, Ribery turut boleh beraksi cemerlang di bahagian sayap selain fungsinya sebagai perencana jentera serangan pasukan.

Mudah dikenali dengan parut panjang di dahi serta pipi kanannya yang dialami selepas nahas jalan raya ketika berusia dua tahun, Ribery memeluk Islam yang menjadi agama anutan isterinya, Wahiba. Dilahirkan di kawasan nelayan miskin di pelabuhan Boulogne-sur-Mer, sama seperti penyerang Perancis, Jean-Pierre Papin, Ribery yang lantang dan kelakar, nyata mempunyai perwatakan berbeza dengan Zidane ketika di padang.

No comments: