Friday, May 23, 2008

Australia, Nigeria tentukan juara



Pemain Chile Roberto Cereceda (depan) dihalang pemain Nigeria pada pertemuan Piala Antara Benua. Nigeria menang 2-1 dan akan bertemu Australia dalam saingan akhir esok.


KUALA LUMPUR - Dua pasukan pilihan, Australia dan Nigeria menepati ramalan apabila melangkah ke perlawanan akhir kejohanan bola sepak bawah 23 tahun Piala Antara Benua, esok.

Kedua-dua pasukan, yang bakal beraksi pada Sukan Olimpik, Ogos ini melepasi perlawanan separuh akhir masing-masing di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras semalam.
Matthew Simon muncul wira Australia apabila menjaringkan hatrik untuk membantu pasukannya menundukkan Ireland 3-1.

Terdahulu, Nigeria terlebih dulu menempah tiket ke perlawanan akhir selepas menumpaskan Chile 2-1 dalam satu lagi saingan separuh akhir di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Jaringan Simon pada minit kelapan dan 12, membolehkan pasukan Olyroos mendahului 2-0 pada separuh masa pertama, sebelum dia melengkapkan hatriknya pada minit ke-75.
Ireland berjaya meraih gol sagu hati pada minit ke-85 menerusi Alan Judge, yang melepaskan rembatan kaki kanan, 25 meter dari luar kotak penalti selepas menerima tolakan ketua pasukan, Stephen Ward.
Sementara itu Okoro Moses muncul wira Nigeria apabila menjaringkan dua gol untuk membawa pasukannya ke perlawanan akhir.
Selepas perlawanan berkesudahan 0-0 pada separuh masa pertama, Moses memecah kebuntuan dengan membuka jaringan Nigeria pada minit ke-65.

Bagaimanapun Chile hanya memerlukan 10 minit kemudian untuk menyamakan kedudukan menerusi tolakan mudah Al-Fonso Parot yang menerima hantaran lintang dari Gonzalez.
Ketika perlawanan tinggal tujuh minit untuk ditamatkan, Moses mengesahkan kemenangan Nigeria dengan menjaringkan gol kedua pasukan itu pada minit ke-83.

No comments: