Thursday, May 22, 2008

United 'RajA' Eropah

United 'raja' Eropah



TERBAIK DI EROPAH: Pemain Manchester United meraikan kejayaan merangkul trofi Liga Juara-Juara Eropah selepas menewaskan Chelsea menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan akhir di Stadium Luzhniki, Moscow, awal pagi semalam.

Memori 'Busby Babes' tak ganggu Ferguson, Van der Sar dijulang wira

MOSCOW: Sir Alex Ferguson akan merasai kejayaan manis pada Liga Juara-Juara Eropah mengatasi Chelsea yang meletakkan statusnya selaku jurulatih paling hebat dalam bola sepak benua.

Namun, pengendali berasal dari Glasgow itu tidak akan mengenang dengan terlalu lama kejayaan sepakan penalti dalam final awal pagi semalam yang memberikan pasukan dari Old Trafford itu trofi Eropah keempat sepanjang kariernya sebagai pengurus, 25 tahun selepas dia membimbing Aberdeen muncul juara Piala Juara-Juara mengatasi Real Madrid.


"Saya rasa bangga, saya amat berbangga," akui Ferguson selepas berakhir pertembungan sengit di Moscow itu. "Tetapi saya rasa aset paling hebat yang saya miliki ialah saya tidak pernah terbawa-bawa dengan kejayaan seperti ini.

"Esok saya akan mula memikirkan mengenai musim depan. Semuanya terlalu cepat berlalu buat saya, kegembiraan itu terlalu cepat tersejat."

Sambil menolak kemungkinan dia akan melakukan kesilapan, pada usia 66 untuk bersara dengan rekod terbaik, Ferguson menyatakan keyakinannya bahawa nasib membantu United untuk memastikan kejayaan manis pada ulang tahun ke-50 kelab berkenaan menyaksikan malapetaka di Munich.

Kejayaan Edwin van der Sar menyelamatkan sepakan penalti Nicolas Anelka terbukti berkesan tetapi United juga bernasib baik bahawa kapten Chelsea, John Terry tergelincir sebelum terlepas penalti kelima yang memberikan mereka trofi kemenangan.


"Saya tidak akan membiarkan memori 'Busby Babes' mengganggu," kata Ferguson. "Jika nasib menentukannya, selepas John Terry tergelincir, ia pasti akan berpihak kepada kami, seperti yang dapat disaksikan sepanjang musim.

"Kami dipaksa untuk melawan dan mereka yang memiliki sebab sangat sukar untuk ditentang."

Ferguson menambah: "Ini adalah kejayaan pertama saya menerusi penalti. Saya tewas tiga kali bersama Aberdeen dan tiga bersama United, jadi ia kali ketujuh baru saya bernasib baik."

Pada penamat musim yang begitu sengit, saingan yang disusuli hujan di gelanggang sangat berat buat skuad Chelsea apabila dua percubaan mereka terkena tiang pada masa permainan dan tambahan masa.

Ia pasti amat menyakitkan buat Terry, yang pasti tidak akan mengambil sepakan penalti kelima jika tidak Didier Drogba dibuang padang sejurus sebelum penamat tambahan masa kerana menampar Nemanja Vidic di muka ketika beberapa pemain bertolak-tolak sesama sendiri.

Dominasi awal United memberikan mereka gol pembukaan selepas tandukan Ronaldo pada minit ke-26, jaringan ke-42 pemain sayap Portugal itu dalam musim yang menakjubkan.

Barisan Ferguson kemudian memiliki peluang untuk menamatkan terus permainan sebelum rehat tetapi jaringan penyamaan Frank Lampard pada penamat babak pertama menyaksikan mereka terikat dan Chelsea tampak menguasai selepas bermula babak kedua dan hampir mencipta kemenangan apabila sepakan Drogba pada minit ke-78 terkena palang ketika van der Sar sudah tewas.

No comments: