Sunday, May 18, 2008

Sathia tuntut aksi mantap


Mohd. Safee Sali (kanan) meraikan jaringannya ketika menewaskan Iraq 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, kelmarin.
- Bernama


PETALING JAYA - Jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan, B. Sathianathan mengharapkan persembahan 100 peratus daripada anak-anak buahnya pada perlawanan terakhir Kejohanan Bola Sepak Piala Antara Benua menentang Nigeria, hari ini.

Menurut Sathianathan, pemain negara harus mempamerkan persembahan yang lebih mantap kerana pasukan Nigeria lebih hebat dari Iraq yang sudah pun mengesahkan tempat untuk beraksi di Sukan Olimpik Beijing, Ogos ini.

''Nigeria memiliki ramuan pemain yang mantap terutama ada antara pemainnya mewakili kelab di Eropah dan mereka juga sudah bersedia untuk beraksi di Sukan Olimpik," kata Sathianathan pada sidang akhbar selepas perlawanan menentang Iraq, kelmarin.

Jelasnya, pemain yang diturunkan juga harus mengambil peluang menimba pengalaman dan belajar dari pasukan yang hebat itu dalam masa yang sama mampu untuk memberi ancaman kepada pasukan dari benua Afrika itu.

''Seperti yang saya katakan sebelum ini Piala Antara Benua adalah medan untuk menilai pemain dan mendedahkan mereka dengan pasukan negara yang lebih hebat.

''Saya masih belum pasti pemain mana yang akan diturunkan dalam perlawanan menentang Nigeria ini, selepas memeriksa tahap kecergasan bersama pegawai perubatan barulah saya membuat keputusan siapa yang akan diturunkan," ujarnya.

Menurut Sathianathan, kemenangan dengan Iraq 1-0 memang dijangkakan tetapi anak buahnya tidak mempamerkan permainan yang mantap.

''Kami tidak mengawal permainan sebaiknya, terutama separuh masa kedua tetapi saya gembira dengan para pemain dan ini adalah pasukan yang mantap.

''Saya juga amat berbangga dengan penyokong yang banyak membantu kemenangan pasukan malam ini walaupun kami tewas pada perlawanan pertama dengan Republik Ireland 3-1 tetapi mereka tetap datang memberi sokongan," ujarnya.

No comments: