Tuesday, June 3, 2008

Veteran bola sepak Selangor, Singapura berentap


SHAH ALAM - Dua pasukan terhebat dalam kancah bola sepak Piala Malaysia di zaman 1980-an, Selangor dan Singapura berentap lagi dalam aksi veteran yang mengimbas kembali detik kegemilangan mereka untuk merebut Piala Sultan Selangor di Stadium Shah Alam pada 6 Julai ini.

Selangor menampilkan gandingan hebat penyerang 'kembar', Zainal Abidin Hassan dan Dollah Salleh selain Khalid Ali, Khan Hung Meng, Reduan Abdullah, Ismail Ibrahim serta beberapa pemain lain.

Turut disenaraikan termasuklah bekas pertahanan kental Selangor, Santokh Singh yang akan kembali memikul tugas berat mengikat kehebatan ayam tambatan Singapura, Fandi Ahmad yang dijangka beraksi meskipun ketika ini pemain itu mempunyai komitmen sebagai jurulatih bersama sebuah kelab di Indonesia.

Piala Sultan Selangor yang diperkenalkan pada 2001 menampilkan aksi dua perlawanan persahabatan antara Pilihan Selangor bertemu Pilihan Singapura dan Veteran Selangor bertemu Veteran Singapura untuk merebut Piala Sultan Selangor.

Aksi perlawanan pasukan veteran dilihat lebih seimbang kali ini berikutan peraturan had umur yang diperkenalkan oleh penganjur pada pertandingan kali ini.

Presiden Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB), Datuk Abdul Karim Munisar, yang menjadi penganjur kejohanan itu berkata, mengikut peraturan had umur itu, bilangan pemain yang berusia 40 hingga 45.

Mengenai Fandi, yang terlibat dengan tugasannya di Indonesia, Abdul Karim berkata, pihaknya akan 'tetap' berusaha memastikan pemain itu disenaraikan.

''Fandi mempunyai ramai pengikut dan peminatnya di sini. Kami akan berusaha memastikan dia dapat beraksi," kata beliau selepas sidang akhbar di sini, semalam.

Bagi perlawanan utama merebut Piala Sultan Selangor itu, pasukan tuan rumah menyenaraikan barisan termasuk penyerang import, Frank Seator, Indra Putra Mahayuddin, Akmal Rizal Ahmad, Mohd Zaiza Zainal Abidin dan Evans Chisulo.

No comments: