Wednesday, June 4, 2008

Euro 2008: 'Kejutan Greece' buat Sepanyol berasa serik


Aragones tidak mahu aib empat tahun lalu berulang

VIENNA: Sepanyol akan jadi pilihan menjuarai Kumpulan D, Euro 2008 tetapi kehadiran juara bertahan, Greece dan Russia pasti membangkitkan kembali memori pahit skuad itu pada Euro 2004. Ketika itu, sama ketika ini, Sepanyol diramal mudah ke suku akhir tetapi kemenangan ke atas Russia, seri dengan Greece dan kalah di tangan Portugal bermakna mereka disingkirkan selepas peringkat kumpulan awal.


Hakikat betapa Portugal dan Greece layak ke final nyata tidak menggembirakan Sepanyol, dengan jurulatih, Inaki Saez bingkas dipecat tidak lama kemudiannya. Penggantinya, Luis Aragones, berjaya mengemudi Sepanyol melepasi peringkat kumpulan pada Piala Dunia lalu, tetapi kekalahan di tangan Perancis mengukuhkan reputasi malang mereka sebagai tidak mampu menggegar pada pentas aksi utama.


Aragones bertekad mengelak kesilapan lalu dan biarpun dia punya keyakinan terhadap skuad mudanya, dia tetap bimbang mengharungi cabaran yang turut dianggotai lawan sukar diramal, Sweden."Saya sentiasa fikir kami akan menang, biarpun jika kami menentang Brazil. Saya mahukan gelaran itu, dan tidak akan puas hati jika sekadar layak ke suku akhir. Kita selalu katakan mudah apabila melihat undian, tetapi kini dengan kejohanan kian hampir, semuanya nampak sukar.


"Sweden, contohnya, sama kuat atau lebih kuat daripada kami dan mereka pernah melangkah lebih jauh daripada kami dalam saingan utama," kata jurulatih berusia 69 tahun itu.
Sepanyol punya persiapan menggalakkan untuk Euro 2008 kali ini, menundukkan Itali dan Perancis dalam aksi persahabatan beberapa bulan lalu. Mereka akan membuka kempen 10 Jun nanti bertemu Russia - lawan yang juga mahu menamatkan rentetan hampa pada kejohanan utama dunia.

No comments: