Tuesday, June 3, 2008

Keputusan penganjuran CYC diketahui seminggu lagi


Keputusan sama ada Piala Juara-Juara Belia (CYC) di Malaysia yang menimbulkan kontroversi penganjurannya boleh dilangsungkan pada tahun ini, dijangka diputuskan dalam seminggu lagi.
Pertemuan antara Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mohd. Yasin Mohd. Salleh dengan Pengerusi Gifted Group Limited - penganjur CYC, Jonathan Price, semalam sekadar mampu mengumpul maklumat dan cuba mengusahakan penyelesaian yang akan dipersetujui bersama.

''Keputusan CYC mungkin minggu depan. Kami dan Gifted (dalam pertemuan di Menara KBS, semalam) cuba mencari penyelesaian secara bersama tetapi masih ada tafsiran undang-undang berhubung surat dan kontrak mereka yang perlu dijelaskan dan diajukan kepada Penasihat Undang-undang kami."Malah, saya fikir terlalu suntuk untuk menyerahkan kepada Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Sukan (hari ini) bagi memutuskannya. Lagipun akhirnya kami perlu rujuk dan menasihat Menteri Belia dan Sukan (Datuk Ismail Sabri Yaakub) menurut maklumat yang diperoleh itu," kata Mohd. Yasin.

Mohd. Yasin mengulas mengenai nasib CYC, Ogos ini yang masih terawang-awang setelah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mendakwa kebenaran penganjuran Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) cuma sah bagi 2007 lalu enggan memperakuinya sedangkan kata Gifted, ia telah diperoleh selama tiga tahun berturut-turut.

Ismail pula beberapa hari kemudian berkata, CYC tidak boleh dilangsungkan pada tahun ini selagi tanpa kebenaran FIFA itu tetapi kementerian masih belum membuat keputusan untuk membatalkannya terus malah menolak andaian terpaksa membayar ganti rugi kepada Gifted.

Kata Mohd. Yasin, pertemuan selama dua jam semalam turut melibatkan seorang wakil dari Jabatan Peguam Negara.

Beliau juga mengakui ada tafsiran tertentu dalam kontrak dan surat yang dikemukakan dalam pertemuan itu memberikan pemahaman yang berbeza sama ada bagi kementerian atau syarikat penganjur yang berpangkalan di London, England itu.''Banyak dokumen yang mereka tunjuk tadi mengatakan memperoleh kebenaran FIFA itu dan permohonan kepada FAM mengenai CYC juga telah dibuat. Namun, saya akui kedua-dua pihak memang mempunyai syarat keluar di mana salah satu boleh menarik diri daripada kontrak itu,'' ujar Mohd. Yasin.

Sementara itu Jonathan berkata: ''Perbincangan dan pertemuan itu berjalan lancar malah saya menganggapnya kini menuju ke hasil yang positif.''

No comments: